SERVISSOLAR
A project by Gading Kencana Sdn Bhd

Kegagalan NETR jejas kedudukan, saingan negara di peringkat global

NETR
NETR

PELAN Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merupakan pelengkap kepada Dasar Tenaga Negara telah berusia setahun lebih. Sudah tentu dalam usia yang muda ini ia memerlukan sokongan berterusan jika kita serius mahu mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Dilancarkan pada Julai 2023, NETR adalah program jangka panjang untuk kelestarian tenaga negara. Untuk itu ia juga memerlukan sokongan dasar bersifat jangka panjang termasuk melalui Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Jika dalam Belanjawan 2024 kerajaan banyak menumpukan inisiatif ke arah industri kenderaan elektrik (EV), diharapkan untuk tahun depan ia lebih menyeluruh dalam membudayakan tenaga hijau dalam kalangan rakyat.

Matlamat NETR bukan sekadar menggunakan EV, tetapi memastikan gaya hidup seharian bebas daripada pelepasan karbon. Tidak ada gunanya jika kita menggunakan kenderaan EV tetapi elektrik yang digunakan untuk mengecajnya datang daripada tenaga yang dijana menggunakan bahan api fosil seperti minyak dan arang batu.

NETR mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 10 hingga 15 peratus, dengan mewujudkan 350,000 pekerjaan. Lebih penting, diunjurkan 70 peratus daripada keuntungan pendapatan akan mengalir kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Ia juga akan menghasilkan produk untuk pasaran bernilai tinggi (HGHV) kerana akan mengurangkan 32 peratus pelepasan karbon dalam sektor tenaga. Ini akan membawa masuk jumlah pelaburan terus asing (FDI) hijau yang lebih tinggi ke dalam negara. Inisiatif NETR akan menjadi pendorong mengalirkan pelaburan masuk ke negara ini terutama yang berasaskan teknologi bersih.

Tetapi buat masa sekarang semua itu masih di peringkat asas seperti mencari lokasi yang sesuai, melakukan pelan reka bentuk, memilih pelaburan sesuai dan tetap serta pelbagai penyesuaian lagi yang turut memerlukan sokongan dasar dan inisiatif melalui Belanjawan 2025.

Mungkin perhatian lebih perlu diberikan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang terbukti berjaya memainkan peranan berkesan dalam tenaga hijau atau tenaga boleh baharu (TBB) termasuk melaksanakan projek ladang solar berskala besar kelima (LSS5).

Kalau kita lihat 50 inisiatif NETR di bawah enam pemacu peralihan tenaga dan lima pemboleh iaitu pembiayaan dan pelaburan, dasar dan peraturan, modal insan dan peralihan yang adil, teknologi dan infrastruktur serta tadbir urus dan pelaksanaan, bermakna, NETR bukan sahaja sekadar menyediakan masa depan tenaga yang mampan untuk Malaysia tetapi juga membentangkan peluang ekonomi yang ketara.

Ia memerlukan pelaburan strategik, kepelbagaian sumber tenaga dan tadbir urus yang berkesan jika mahu peralihan tenaga ini benar-benar memberi manfaat kepada alam sekitar serta berdaya maju dari segi ekonomi untuk Malaysia.

Yang mana akhirnya memberi manfaat kepada rakyat iaitu kemungkinan kos tenaga yang lebih rendah selain peluang ekonomi lebih besar melalui ratusan ribu peluang pekerjaan bakal tersedia.

Dengan momentum peralihan tenaga global semakin rancak, ia secara langsung memberi kesan kepada ekonomi Malaysia. Dan NETR adalah persediaan untuk memastikan kita turut sama berada dalam momentum ini, agar tidak ketinggalan atau tercicir di pentas global.

Ketika ini Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Kita mempunyai kebolehcapaian elektrik yang tinggi di kawasan luar bandar dan bandar selain kadar elektrik isi rumah berada di antara yang paling rendah di seluruh dunia. Tambahan pula, pengeluaran daripada rizab minyak dan gas mengurangkan pergantungan kepada import tenaga. Kini ditambah pula dengan tenaga boleh baharu yang telah disuntik ke grid nasional.

Walaupun Malaysia menyumbang hanya 0.8 peratus kepada pelepasan gas rumah hijau (GHG) global, tetapi jika tidak ditangani ia boleh memberi kesan kepada penyertaan kita dalam ekosistem perdagangan global yang semakin menuntut kepada kepatuhan pelepasan karbon dan penggunaan tenaga hijau.

NETR akan mempersiapkan kita berhadapan dengan situasi apabila dunia hanya menerima urus niaga daripada sumber-sumber yang berasaskan tenaga hijau atau tenaga boleh baharu yang bebas karbon.

Tanpa peralihan tenaga ini, untuk tempoh sekitar 25 tahun akan datang, kita tidak akan mampu bersaing jika kekal menggunakan kaedah tenaga yang lama.

Sebab itu NETR ini perlu mendapat sokongan berterusan termasuk dalam Belanjawan 2025 supaya fokus peralihan daripada bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi berjalan lancar. Menjelang 2050, inisiatif NETR dijangka memberikan pengurangan 32 peratus dalam pelepasan GHG untuk sektor tenaga.

Untuk jangka panjang kita tidak boleh melihat NETR sebagai peralihan tenaga semata-mata. Sebaliknya ia turut membentangkan peluang ekonomi yang ketara. Melalui pelaburan strategik, kepelbagaian sumber tenaga dan tadbir urus yang berkesan, peralihan tenaga boleh memberi manfaat kepada alam sekitar dan berdaya maju dari segi ekonomi untuk Malaysia.

Selain itu, ia perlu diuruskan oleh agensi yang ada keupayaan, kredibiliti, kemahiran dan rekod prestasi yang bagus dalam mengendalikan peralihan tenaga. Perkara ini mungkin boleh diperincikan dalam Belanjawan 2025 nanti.

Contoh terbaik ialah meletakkannya di bawah PETRA. Untuk memastikan NETR tidak jatuh ke tangan mereka yang tidak kompeten, setiap pelaksanaan projek perlu dilakukan secara bidaan. Cara ini lebih berkesan berbanding dianugerahkan secara terus kepada pihak tertentu termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini kerana akhirnya pihak yang menerima projek secara terus ini akan mencari syarikat-syarikat yang berkeupayaan untuk melaksanakannya bagi pihak mereka.

JANGAN GAGAL
NETR adalah projek masa depan negara. Bayangkan jika ia jatuh ke tangan mereka yang hanya mahu mengaut untung segera yang tidak ada keupayaan dan kepakaran serta tidak mampu menyiapkan dalam masa yang ditetapkan. Adakah Malaysia mahu mengambil risiko itu?
Jika NETR gagal, ia akan menjejaskan kedudukan dan keupayaan kita untuk bersaing di peringkat global.

NETR tidak boleh gagal. Untuk memastikan ia tidak gagal, mekanisme pelaksanaan mesti betul dan tatakelolanya telus.- https://www.utusan.com.my/rencana/2024/10/kegagalan-netr-jejas-kedudukan-saingan-negara-di-peringkat-global/

DATUK Ir. Guntor Tobeng adalah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., syarikat yang terbabit dalam penyediaan tenaga hijau dan ladang solar.